Rabiatul Al-Adamiyah


Rumput taman baru semalam dipotong dengan mesin rumput. Nampak warna tanah dengan jelas. Gaya rumputnya seperti kanak-kanak sekolah kena potong rambut pendek. Nampak kulit kepalanya yang putih.

Ketika itu Hisyam Semail baru meletakkan keretanya di petak kereta dalam taman. Dia sedang memikirkan bakal teman hidupnya. Ibunya sudah bertanya, ``Dengan gadis mana hendak bertunang?''

Bagi memujuk hatinya tentang mencari bakal tunang, dia cuba mengingatkan kata-kata Tuk Rahman Rukaini. ``Syaitan makhluk cerdik. Syaitan pernah jadi cikgu di syurga sebelum terlempar ke dunia. Bila suruh sujud kepada Adam, syaitan tidak mahu.

``Katanya dirinya lebih mulia daripada Adam. Adam dijadikan daripada tanah. Dirinya dijadikan daripada api. Itu alasannya. Sedangkan itu perintah Allah,'' kata Tuk Rahman lagi. Tuk Rahman yang selalu berbual dengan Hisyam Semail selepas waktu isyak di surau tempat tinggalnya. Imam Dolah, Ghazali, Wahid, Fuad, Husin, Raja Alias, Zakaria, Cikgu Syaari, Mat Misai, Zakaria turut mendengarnya.

Hisyam Semail suka dengan Tuk Rahman. Tuk Rahman orangnya baik, banyak ilmu agamanya dan suka membaca buku. Mudah-mudahan Allah menurunkan hikmah kepadanya.

Semangat Tuk Rahman, bukan kepada soal agama sahaja tetapi kepada perjuangan bahasa. Soal bahasa katanya, ``Di sinilah bahasa Melayu bertapak. Kalau bahasa Cina di negeri China tempat kukuhnya. Bahasa India di India tegaknya. Rakyat di situ ratusan juta. Jadi kenapa bahasa Melayu di rantau yang kecil ini hendak diperdebatkan?'' Yang itulah Tuk Rahman tidak mengerti, kenang Hisyam Semail.

Tiba-tiba muncul seorang perempuan cantik di depan Hisyam Semail. Dia seperti perempuan Arab yang amat cantik. ``Apakah dia bakal tunangku?''

Hisyam Semail terkejut. Kenapa dan siapa dia di sini? Dan macam-macam pertanyaan serta bayangan yang terlakar dalam kepalanya.

``Kekayaan ilmu itu cantik. Dengan ilmu akan cantik segala. Cantik itu kesihatan. Tetapi jika buat jahat atau melakukan keburukan, maka hilanglah cantik. Kesihatan diri tidak cantik. Maka ertinya pintu ilmu tertutup. Diri tidak cantik lagi. Spirituil diri tidak cantik,'' kata perempuan cantik itu. Dia seperti membaca apa yang dikatakan oleh Tuk Rahman kepada Hisyam Semail.

``Siapakah kamu, wahai perempuan cantik?'' tanya Hisyam Semail dengan sedikit gentar. Gentar kerana jika dia berada di kawasan taman bunga, tidak fasal-fasal kena tangkap basah. Perempuan itu bukan muhrimnya.

``Orang berilmu faham akan wujudnya siang dan malam. Penentunya adalah penguasa seluruh alam. Maka dapat duduk dan baring itu merupakan satu ibadat. Tetapi jika timbul perasaan marah adalah sesuatu yang tidak cantik. Marah itu kotor,'' terang perempuan cantik itu tanpa menjawab pertanyaan Hisyam Semail.

``Bagaimana dia tahu tentang apa yang aku fikirkan. Dia keluarga Tuk Rahmankah?'' fikir Hisyam Semail.

``Marah merupakan satu najis juga. Tetapi jika bawa bertenang, merenung semula segala yang berlaku, maka akan membawa kebaikan. Jadi elok membasuh muka dan mengambil air sembahyang. Jiwa akan tenang semula dan aman bahagia. Kita membasuh muka ketika mengambil air sembahyang merupakan amalan mengeluarkan semua kekotoran. Mekap, debu akan hilang,'' perempuan cantik berkata seperti apa yang pernah Tuk Rahman ucapkan kepadanya.

``Begitu juga membasuh kedua-dua tangan, kepala atau rambut, telinga, tengkuk dan kedua-dua kaki itu adalah mengeluarkan segala kekotoran. Pada lahirnya membasuh tubuh badan tetapi pada batinnya membersihkan jiwa.'' Hisyam Semail teringat kata yang diucapkan oleh Tuk Rahman selepas itu.

Kecantikan

``Mengambil air sembahyang kemudian berniat untuk mendirikan sembahyang sudah membina diri bertanggungjawab. Tanggungjawab diri mensyukuri dan tunduk kepada Allah yang menjadikan sekalian makhluk,'' perempuan cantik itu menyambung percakapannya.

``Memang benar, itulah kata-kata Tuk Rahman kepadanya,'' ingat Hisyam Semail. Sambil melihat tubuhnya yang gempal dan berasa dirinya baru minum pagi. Dia pengukir barang cenderamata. Dia pembuat kraf tangan. Dia mempunyai syarikat sendiri. Kedai atau pejabatnya di rumah. Dia pakai kereta Perdana lama. Hobinya bekerja dengan skrin sutera. Suka mengajar orang tentang apa yang diketahuinya. Misalnya squgee (skugi) iaitu papan tarik dakwat dalam blok skrin sutera.

``Jiwa bersih, kita menjadi tenang dan tidak akan mendekati perkara yang dilarang dan suka membuat apa-apa yang disuruh oleh Allah.

``Jangan minta terbujur kaku. Kita akan disembahyangkan bukan lagi kita mendirikan sembahyang. Apabila seseorang mati, maka kehidupannya berbeza dari alam dunia. Dia di alam roh atau kematian.'' Tegas perempuan cantik.

Kata-kata itu menggetarkan jiwa Hisyam Semail. Apa tidaknya, Hisyam Semail tahu bahawa paling berbeza hidup di antara alam roh dan alam duniawi. Alam roh sudah bermula atau ditentukan sejak dalam kandungan ibu. Di alam roh kandungan ibu itu dinyatakan bahawa tiada sesuatu yang lebih agung melainkan Allah.

``Itulah sebabnya ketika berwuduk, tangan hendaklah bersih sebelum basuh muka. Muka yang penuh dengan nur kebaikan diterima menghadap Allah. Allah tidak menerima menghadap muka orang yang penuh noda dan kemaksiatan. Begitukah?'' Tiba-tiba Hisyam Semail bertanyakan kepada perempuan cantik itu.

``Ya. Benar kata kamu. Nur kebaikan diterima Allah. Nur itu bersih dan cantik. Iblis dengki kepada kecantikan manusia. Jadi hargai kecantikan. Kecantikan itu adalah pemberian Allah. Allah itu Maha Cantik dan suka kepada kecantikan.'' Perempuan cantik tunduk. Hisyam Semail terpegun dengan kecantikan wanita itu. Tetapi mengapa dia berada dalam taman ini?

``Kaya manusia setakat siku. Itulah isyarat ketika kita membasuh tangan berwuduk. Lepas balik kepada Allah. Tanda syukur. Apatah lagi, ketika bangun tidur tengah malam, ambil air sembahyang dan berniat, aku nak solat! Solat tahajud dua rakaat. Solat untuk rohani. Kesyukuran rohani. Ini semua jalan kebaikan bagi orang yang mengerti.'' Perempuan cantik menjauhkan diri ketika Hisyam Semail cuba menghampirinya.

Fasal berwuduk, Nabi pernah bermimpi Bilal dalam syurga. Nabi tanya, apa kelebihan Bilal? Bilal kata, dia hanya mengekal air wuduk setiap waktu. Jadi dia terhindar daripada gangguan syaitan.

Begitu juga apabila seseorang membaca al-Quran. Malaikat pun bersama berdoa untuk pembaca al-Quran. Si pembaca terhindar daripada tusukan atau gurisan-gurisan syaitan. Ingat Hisyam Semail akan kata-kata Tuk Rahman.

Tuk Rahman memberi dua sebab mengambil air sembahyang iaitu satu untuk hari akhirat dan satu lagi untuk tujuan sembahyang.

``Kata Tuk Rahman, seri wajah dengan nur Allah bagi orang-orang yang mendirikan sembahyang. Wajah wali Allah bukan wajah hitam. Muka hitam adalah muka musuh Allah pada hari kemudian nanti. Itu yang disebutkan dalam al-Quran,'' tanya Hisyam Semail.

``Benar! Apatah lagi dengan hikmah. Hikmah bukan datang daripada manusia. Hikmah datang daripada Allah. Kunci memohon kepada Allah ialah dengan berselawat ke atas Nabi. Itu adab memohon kepada Tuhan. Berdoa ada adabnya terutama sebelum melafazkan doa.''

Hisyam Semail terbayangkan sifat-sifat manusia daripada kata-kata perempuan cantik bahawa dalam diri seseorang ada sifat-sifat imarah (marah), mudlumah (goyang) dan mudmainnah (tenang). Kita cuba mendekati mudmainnah seperti apabila orang marah kita tetap tenang. Kita susah kita tetap sabar. Kita dihukum, kita reda.

``Orang tenang banyakkan dirinya reda. Penoreh getah tenang walaupun baju koyak-rabak. Pesawah padi tenang walaupun rumah buruk. Tukang sapu sampah tenang walaupun sampah tetap disepah-sepahkan orang di merata-rata tempat.'' Perempuan cantik itu seperti tahu apa yang sedang dilamun oleh pemuda Hisyam Semail.

Hisyam Semail melihat perempuan cantik itu memakai pakaian kain putih lembut seperti pakaian orang perempuan menunaikan fardu haji di Mekah. Siapakah perempuan ini? Dari mana datangnya?

``Lazimnya orang seperti tukang sapu, penoreh getah, nelayan, pesawah, petani dilihat seperti orang amat susah hati. Sedangkan mereka tidak pernah berasa susah. Malah mereka amat bahagia dengan kehidupannya.'' Jelas perempuan cantik seperti dia tahu-tahu apa yang Hisyam Semail sedang fikirkan.

Hisyam Semail seperti mahu menyambung akan kata Tuk Rahman yang diingatnya. Penoreh getah, pesawah dan mereka yang lain itu akan tiba ke peringkat cukup berbahagia. Ini seperti mereka melihat anak-anak berjaya dalam kehidupan masing-masing. Mereka menjadi anak-anak yang soleh dan ramai yang belajar hingga memperoleh ijazah di universiti.

Kata Tuk Rahman lagi, ibu bapa ini bangga dan bersyukur dengan titik peluh mereka selama ini. Mereka reda siang hari. Reda malam hari. Mereka menyeru diri sering rujuk kepada Allah. Hanya menyerah diri kepada Allah dengan segala daya usahanya. Inilah hakikat kebahagiaan. Mereka mencari rezeki dengan titik peluh yang halal. Menjauhi segala yang haram.

Perempuan cantik itu tersenyum dan Hisyam Semail cuba berkata, ``Rahmat atau kenikmatan tenang atau dengan kata mudmainnah itu ialah orang yang selalu jiwa raganya merujuk kepada Allah. Mereka seperti bertemu wajah dengan wajah Allah. Mewajah kepada Allah semata-mata. Mereka menghadapkan wajah kepada Allah.''

``Benar ucapan kamu orang muda. Kita mesti ada sifat mukabalah iaitu mempunyai sifat berasa berdamping dengan Allah di alam fana ini. Adab orang berilmu mesti hormat ulama atau guru-guru kita. Misalnya kita berbincang soal karya Hamzah Fansuri. Orang yang membincangkannya mestilah orang-orang yang benar-benar tahu. Ia bukan dibincangkan di khalayak ramai.'' Kata perempuan cantik bagaikan ada cahaya memancar-mancar daripada wajah dan pakaiannya. Angin pagi terus meniup ke arah mereka.

``Wahai perempuan cantik, apakah sesuatu ilmu tinggi itu tidak boleh dibincangkan oleh khalayak ramai? Khalayak yang tidak tahu hujung pangkal siapa itu Hamzah Fansuri. Mereka akan mencoreng segala pendapat Hamzah Fansuri. Mereka lemah mengetahui akan isi tulisan Hamzah Fansuri. Mereka terlalu kerdil jika dibandingkan dengan ilmu Hamzah Fansuri. Begitukah?'' Tanya Hisyam Semail.

Keyakinan

``Benar wahai pemuda budiman. Oleh sebab itu perlakuan jiwa tenang ialah dengan bersolat tahajud pada tengah malam. Waktu antara pukul 3 pagi hingga ke subuh.'' Perempuan cantik terus memberi keyakinan kepada Hisyam Semail.

``Tetapi bagaimana dengan takdir Allah?'' Tanya Hisyam seperti memberi perbandingan dengan pandangan Tuk Rahman.

``Takdir Allah ialah sesuatu yang belum terjadi dalam qadak. Apabila sudah terjadi itu ialah ketentuan Allah. Ini hendaklah dilihat juga akan erti perasaan. Perasaan ialah soal dalaman iaitu dilihat pada hati. Hati kita mesti baik dan balik kepada Allah. Jangan menyimpang kepada benda yang lain selain daripada Allah.'' Perempuan cantik it terus melakarkan kata-kata jujurnya.

Hisyam Semail sungguh terpegun. Dia amat terharu dengan kata-kata jujur dan ikhlas itu. Bagaikan ucapan Tuk Rahman tentang pentafsir.

``Kita tidak mahu pentafsir al-Quran yang menterjemah dan mentafsir hingga menyimpang jauh atau mengambil jalan pintas atau secara pendek akal sahaja. Misalnya adakah yang dikatakan tutup aurat dalam agama Islam itu hanya perlu menutup bahagian kehormatan baik lelaki atau perempuan. Bukankah itu sesuatu yang tidak harmoni dan bertamadun? Sedangkan Islam itu sentiasa berada dalam alam tamadunnya. Tafsiran salah ini yang dibawa oleh golongan yang antihadis.''

Bahas perempuan cantik itu lagi. ``Benar akan kata Tuk Rahman kepadamu itu. Qadak dan qadar berubah atas permintaan yang dipohon oleh manusia. Kalau terjadi atau ditimpa bala kepada diri, maka hendaklah berbanyak sabar bukan menentang atau berlawan dengan Allah. Jika memperoleh nikmat maka hendaklah berbanyak syukur kepada Allah.''

Hisyam teringatkan kisah Nabi Ibrahim berguru dengan Allah. Baginda menerima wahyu daripada Allah. Dapat ilmu dengan usaha. Terima hidayah merupakan nur Allah. Taufik dengan apa yang dilafaz. Ini selaras atau serasi dengan apa yang pernah diminta oleh Nabi Ibrahim.

``Tanafas merupakan pelukan dari dalam. Ini kehebatan Allah. Persenyawaan seperti sembahyang subuh ke zuhur, ke asar, ke maghrib dan ke isyak. Merupakan satu persenyawaan yang membina satu makam kehidupan yang puas dengan rahmat Allah,'' itu yang difahamkan oleh Hisyam Semail dengan kata-kata perempuan cantik dan Tuk Rahman.

Tiba-tiba perempuan cantik itu hilang. Ke mana dan siapakah dia? Ketika itu terlayang sekeping kertas di kakinya. Hisyam Semail membaca tulisan di kertas itu.

``Akulah bayangan Rabiatul Al-Adawiyah yang waktu mudaku menghabiskan waktu dengan melaksanakan perintah tuannya tetapi sebelah malam aku sentiasa berdoa kepada Allah.''

Hisyam Semail sungguh terkejut. Rupa-rupanya dia tertidur dalam taman. Tiba-tiba dia melafazkan apa yang pernah dilafazkan oleh Rabiatul Al-Adawiyah, ``Oh Tuhanku, bintang-bintang bersinar gemerlapan, manusia sudah tidur nyenyak dan raja-raja telah menutup pintunya. Setiap orang bercinta sedang asyik dengan kesayangannya dan di sinilah aku bersendirian bersama-Mu!''

Hisyam Semail teringin mencari bakal tunangnya seperti Rabiatul al-Adawiyah. Bukannya bayangan tetapi kenyataan. Mudah-mudahan perempuan seperti itu terus wujud di dunia ini.

Sumber: Utusan Malaysia

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...