cabaran dan dugaan hidup SALMAH Abdullah


SALMAH Abdullah, 68, reda dengan penentuan ilahi apabila mengenang nasib yang menimpa dirinya dengan pelbagai cabaran dan dugaan hidup yang terpaksa di tempuhi sepanjang bergelar seorang muslim.


Hatinya terbuka untuk memeluk Agama Islam setelah mendapat nur dengan bantuan jejaka yang kini suaminya yang terpaut akan kecantikan Salmah pada alam remaja.

Niat mendirikan rumah tangga dengan jejaka pilihan semasa berusia 18 tahun pada mulanya mendapat tentangan ahli keluarga terutama ibu dan bapa yang ketika itu berlainan agama. Namun, kecintaan terhadap agama Allah mengubah dirinya menjadi seorang muslim sejati.

“Pada ketika itu, hati saya berbelah bagi untuk memilih keluarga atau suami, namun saya berdoa kepada tuhan yang esa untuk membukakan hati saya untuk menerima agama ini atau sebaliknya. “Hari demi hari saya memikirkan perkara ini, namun jawapan bersalah masih membelenggu diri ini sekiranya tindakan yang ambil menyebabkan dirinya disisihkan oleh keluarga dan saudara mara,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini. Namun Allah masih memberinya peluang dan hidayah apabila keluarga mertua sebelah suami bertandang ke rumah keluarga dengan niat dan hajat untuk menjadikan saya sebagai menantu. “Akhirnya ibu-bapa dan keluarga saya menerima niat tersebut dengan harapan demi kebahagiaan saya di dunia dan akhirat,” jelasnya.

Tahun 1957 yang juga tahun kemerdekaan negara merupakan detik tahun keramat kepada Salmah yang mengahwini suami tercinta selepas setahun memeluk Islam.

Kata Salmah, detik-detik indah perkahwinan itu diabadikan sebagai kenangan yang sukar digambarkan kerana perkahwinan tersebut mendapat restu daripada kedua-dua belah pihak keluarga.

Kini hampir 50 tahun setelah memeluk agama Islam kehidupan saya terus berubah di samping mendapat hidayah dan bimbingan untuk mengamalkan ajaran Islam sepenuhnya.

“Kehidupan saya bertambah bahagia setelah dikurniakan dengan enam orang anak yang merupakan pengikat kasih sayang. Saya bimbing dan memberi tunjuk ajar kepada mereka.

“Kehidupan saya dirahmati oleh Allah s.w.t kerana memberi saya rezeki yang melimpah ruah demi menyara saya dan anak-anak tercinta,” tambahnya yang menetap di Selayang Baru, Kuala Lumpur.

Namun kebahagiaan itu tidak kekal lama. Setelah 38 tahun mendirikan rumah tangga pasangan ini akhirnya berpisah.

Hati ini luluh dan pasrah kerana suami yang merupakan tempat bergantung selama ini membuat keputusan berkahwin dengan wanita lain disebabkan masalah peribadi,” katanya.

Pada waktu itu, beliau mula tertekan dan keadaan semakin terumbang-ambing dan hatinya mula berkata-kata dan merasakan tiada guna lagi untuk hidup di dunia ini.

“Pada waktu itu, saya mula membawa diri bersama-sama dengan rakan-rakan agama lama saya iaitu buddha, dari situ saya mula takut dan gusar kerana merasakan bahawa keinginan untuk kembali kepada agama asal mula tergambar di fikiran saya.

“Namun alhamdulillah, saya mengucap panjang dan memohon kepada Allah supaya terus memberi kekuatan kepada diri saya. Hati saya mula tidak tenteram dan perasaan ketika itu mula berbelah bahagi dan akhirnya, saya membuat keputusan untuk berjumpa seorang ustaz bagi mendapatkan pandangan dan nasihat apakah tindakan yang perlu dilakukan demi kebaikan diri saya dan anak-anak,” jelasnya.

Benarlah Allah itu maha adil dan penyayang kepada umatnya. Setelah berbincang dengan sedalam-dalamnya, ustaz mencadangkan agar beliau mengerjakan umrah bagi mendapat ketenangan di samping melakukan amal ibadat yang dituntut oleh Allah s.w.t.

“Pandangan ustaz itu saya terima dan pada tahun itu juga, saya mengerjakan umrah. Apabila sampai di sana, hati saya benar-benar mendapat ketenangan dan seolah tuhan memberi hidayah kepada saya untuk terus melakukan amal ibadat dan mengikut ajarannya.

“Saya teruja melihat masyarakat di sana kerana sifat mereka yang sentiasa membimbing di antara satu sama lain. Di Mekah, alhamdulillah saya turut dimurahkan rezeki di samping diberi kesihatan yang baik untuk menunaikan ibadat,” katanya gembira.

Di Tanah Suci, Salmah mendapat satu petunjuk lagi apabila mendapat kenalan daripada pelbagai bangsa dan negeri yang berpusu-pusu untuk mengajarnya membaca al-Quran.

Katanya, kadang-kadang timbul perasaan malu dalam diri, namun apabila melihat mereka yang bersungguh-sungguh mengajarnya, beliau mula memahami bahawa Allah s.w.t sentiasa memberi pertolongan kepada umatnya yang dalam kesusahan.

Beliau juga sentiasa bermohon kepada Allah s.w.t untuk terus membimbingnya dan anak-anak ke jalan yang benar.

“Kini setelah kembali ke tanah air, saya memperbanyakkan amalan dengan mengikuti program-program yang dianjurkan oleh Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) cawangan Selayang Baru dan surau yang berdekatan,” katanya.

Wanita yang berusia lebih setengah abad ini berpegang dengan prinsip setiap manusia perlu mengelak daripada sifat tamak, haloba dan kedekut serta jangan menghina sesama manusia.

Dalam menghabiskan sisa-sisa kehidupannya yang semakin senja, Salmah mengingatkan kepada setiap Muslim yang ingin mendirikan rumah tangga dengan bangsa asing yang berlainan agama, agar memikirkannya dengan masak.

Katanya, ini bagi mengelakkan berulangnya peristiwa yang menimpa dirinya yang hampir kembali semula ke agama asal apabila berlaku perceraian.

“Pegangan agama dan pedoman yang tidak kuat di dada merupakan penyebab kepada masalah yang berlaku pada hari ini.

“Keadaan akan bertambah sulit apabila, mereka tiada tempat mengadu dan tidak dipedulikan oleh masyarakat. Mereka menjadi mangsa kepada keadaan secara langsung merosakkan imej Islam itu sendiri dari persepsi pandangan agama lain,” katanya.


Oleh MOHD. SAIFUL MOHD. SAHAK

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...