Kesepian itu membawa aku cuba berlari jauh. Kesunyian itu menjadikan aku perindu yang tidak bertepi. Tanpa haluan, aku bangun.
Aliff,  menyebut namamu saja mampu menikam hati ini apatah lagi kalau aku punya  waktu untuk melihat ukiran wajahmu. Pantai di hadapanku begitu luas,  bersama ombak dan langit yang juga tidak pernah aku hitung keluasannya.
Tapi  mengapa hatiku sesempit lubang cacing? Sepasang kekasih di hadapanku  begitu bahagia membelai cinta dan kesan tapak kaki mereka yang disapa  ombak membuatkan aku sempat mencipta madah.
Kenangan itu ibarat  kesan tapak kaki di pantai dan ombak itu ibarat masa yang berlalu.  Semakin masa berlalu, semakin terhakis kenangan lalu, ibarat  kesan tapak kaki yang dihapus ombak. Benarkah? Aku tidak mampu menjawab  kerana kenangan itulah yang melukakan dan kenangan itulah yang aku cuba  lupakan agar kehidupanku tidak terjerut dalam kepompongnya.
Telefon bimbitku berdering kuat sekali lantas mengganggu ketenangan semula jadi di pantai ini.
"Assalamualaikum."
"Waalaikummussalam."
"Dina..."
Suara yang terlalu lama tidak kudengari sehingga aku seakan melupakan pemiliknya.
"Dina, lusa datang Plaza Angsana tingkat dua ya. Saya tunggu."
Farhan. Aku mendengus perlahan dan aku menapak perlahan. Moga kenangan lalu itu tertinggal bersama tapak kakiku.
*****
Nyalaan  pelita itu begitu mendamaikan. Aku dan adikku nyenyak dibuat mimpi.  Dentuman kilat itu menyentak dirku lantas mataku yang enak dibuai mimpi  terbuka pantas.
Kulihat ayah sedang duduk, tidak melelapkan mata barangkali.
"Kenapa ayah tak tidur?"
Suara  keanak-anakanku memecah kesunyian, memandang ayah yang tersenyum.
"Ayah tengok anak-anak ayah tidur..."
"Kenapa?"
"Yalah, nanti kakak dengan adik dah besar, ayah dah tak dapat tengok muka anak-anak ayah macam budak-budak lagi."
"Hujan lebatlah ayah, rugi ayah tak tidur."
Ayah ketawa, mungkin lucu baginya. Tiba-tiba aku terasa sejuk di tapak kakiku. Mencerlang mataku memandang atap rumah.
"Ayah, air masuk."
"Akak tidurlah, ayah cari timba. Ayah tak sempat baiki atap rumah kita siang tadi."
"Tengok adik tidur ternganga ayah."
Ayah  ketawa. Dia bangun mencari baldi untuk menadah air yang bocor. Hati  kanak-kanakku sudah pandai merasa sayu. Aku pantas menarik selimut dan  tanpa ayah sedar, aku menangis perlahan.
Ayah, bila akak besar  nanti, akak jaga ayah dengan mak baik-baik, getus hatiku. Aku memandang  adikku yang setahun muda dariku. Meskipun umurku tujuh tahun, kata ibu  aku perlu matang  untuk menjaga adik. Entah jam berapa, aku tertidur bersama angan-angan  yang entah akan tercapai atau tidak.
*****
"Kak, bangun. Kita kan nak tengok mak kejap lagi."
Azwan  menggoncangkan tubuhku. Aku menggeliat malas. Namun membayangkan wajah  ibu, aku segera bangun. Meskipun baru semalam ibu memelukku, aku begitu  merinduinya. Kami bertiga menunggu bas di stesen buruk kampungku. Azwan  sibuk bercerita itu dan ini kepada ayah dan aku lebih gemar mendiamkan  diri.
Setibanya kami di hospital, aku mencari wad bernombor 440.  Doktor dan jururawat menyambut kami dengan senyuman yang sukar  dimengerti.
"Mak! Mak! Kami dah sampai." Azwan ketawa girang  sambil menuju ke arah ibu. Aku menegahnya membuat bising kerana aku  lihat ibu sungguh tenang dalam tidurnya. Azwan meletakkan jarinya di  bibir. Mungkin dia tersedar perlakuannya yang mengganggu tidur ibu.
Ayah  mengucup dahi ibu dan memanggil aku dan adik merapati ibu. Tanpa  disuruh, aku turut mencium ibu. Hanya itu yang mampu aku katakan. Adik  juga menuruti. Dia yang petah berkata-kata terus bertanya.
"Mak baru lepas mandi ke akak? Sejuk saja, kenapa mak tak sedar kita datang?"
Aku  hanya senyap. Akalku yang masih pendek ketika itu terlalu sukar untuk  mentafsir hakikat yang ibu sebenarnya telah pergi selamanya. Aku hanya  mampu memahami erti kematian itu apabila aku dan adik terkebil-kebil  melihat ibu dalam balutan kafan putih dan bacaan Yasin memenuhi ruang  pondok buruk kami.
Malam itu adik menangis. Ayah kukira,  menyimpan kesedihan itu di dalam hati. Dan aku, memeluk bantal yang  pernah ibu jahitkan sebagai pengubat hati yang terlalu sepi ketika ini.
*****
Di  sini akhirnya aku, di sebuah rumah kebajikan masyarakat. Ibarat  drama-drama yang sering kutonton, ayah juga pergi buat selamanya sepuluh  hari selepas kematian ibu. Cuma, untuk drama kehidupan ini, akulah  pelakon yang memegang watak  utama itu. Kuteka ayah begitu merindui ibu kerana aku pernah mendengar  tangisannya ketika aku berpura-pura tidur.
"Dina, dah siap ke?" lamunanku terhenti.
"Hikma, terkejut aku. Sekejap ya."
Aku  memandang cermin. Sudah puas hati dengan penampilanku, aku bersama-sama  Hikma menuju ke tapak Kempen Anti Dadah. Di sinilah hidupku,  bersama-sama sahabat yang mungkin kurang bernasib baik. Tetapi nasib  kami terbela di bawah jagaan "ibu" dan "ayah" yang bagiku cukup adil  memberi kasih sayang mereka.
"Kau tahu, Farhan bertanding sekejap lagi. Nak tengok?"
Aku  mengangguk. Masakan tidak, Farhan adalah sahabatku dari kecil di rumah  kebajikan ini. Kecerdikannya telah membawa dia ke Sekolah Berasrama  Penuh. Aku tegar berpisah kerana aku tahu dia mampu menjadi insan yang  cemerlang.
Ketika ini, aku berada di tingkatan lima. Peperiksaan  SPM tahun ini bakal menentukan nasibku. Aku memandang Hikma. Hampir  lapan tahun kami bersahabat.  Sempena Kempen Anti Dadah, pusat kebajikan ini telah bergabung dengan  sekolahku yang terletak berhampiran. Alunan piano itu menarik hatiku.  Seakan bergerak seluruh sukmaku. Sebati sudah irama itu dengan jiwaku.
"I promise you
You're not alone
When the lights go out at night
When you're feeling lost inside
You're not alone
You're not alone
When your world is falling down
I will be the one around
You're not alone
You're not alone
Alunan  suara Farhan menghayati lirik You're Not Alone nyanyian Shayne Ward  begitu menusuk hatiku. Kenangan ketika aku masih di alam kanak-kanak  menjelma. Farhan gemar memberiku coklat Kit Kat. Katanya, ia bermaksud,  Kau Insan Tersayang, Kau Amat Teristimewa.
Tapi kini, masih  adakah kenangan kanak-kanak itu di hati Farhan? Kedewasaan menjadikan  kami begitu malu antara satu sama lain. Pada Hikma sahaja selalu  kuluahkan rahsia hati. Sememangnya,  kenangan kanak-kanak itu amat mengikat hatiku. Seingatku, kali terakhir  aku beramah mesra dengan Farhan adalah ketika kami di tingkatan tiga.
Selepas  itu, kami terpisah kelas kerana keputusan PMRnya yang lebih cemerlang.  Sifatku yang terlalu pendiam juga menjadi penghalang. Siapalah aku  dibandingkan dirinya. Aku anak kebajikan dan dia mempunyai keluarga yang  cukup terkenal di daerah ini.
Namun, ayahnya cukup kukenali  kerana beliau sering membantu anak-anak kebajikan. Ayahnya juga sering  mendermakan wang untuk urusan pembelajaran kami penghuni rumah kebajikan  itu.
"Dina..."
Lamunanku terhenti. Farhan menghulurkan  sesuatu untukku. Setelah aku menyambutnya, dia berlalu dan sempat  meninggalkan senyumannya untuk terus kusemat di hati.
*****
Malam itu, aku merasa betapa aku tidur dengan senyuman. Bait-bait surat Farhan seperti sudah kuhafal.
"Assalamualaikum,  buat Dina yang comel. Waktu Farhan nyanyi tadi, lagu  itu istimewa untuk Dina. SPM dah tak lama lagi. Farhan harap Dina  belajar rajin-rajin. Kita kan selalu berangan nak sambung belajar dan  lepas itu, buka kedai coklat sama-sama? Jangan lupa kalau makan Kit Kat  tu, ingat Farhan ya Dina."
Farhan, sememangnya aku punya impian  itu meskipun tidak bersama kamu. Aku akan tetap berusaha mencapai yang  terbaik untuk kehidupanku. Aku tidak sepandai Azwan tapi aku punya satu  impian untuk membuka sebuah kedai menjual coklat, mungkin kerana  semangat coklat itu.
*****
Ya, kini aku berjaya  melanjutkan pelajaranku di UTM. Kedai coklat impianku entah ke mana.  Farhan juga mungkin bernasib baik kerana dia melanjutkan pelajarannya  dalam bidang perubatan di Indonesia. Dan aku, meneruskan pengajian dalam  bidang psikologi.
Sudah lebih setahun aku tidak mendengar khabar  Farhan. Aku tidak kisah kerana kami tidak pernah punya apa-apa ikatan  atau janji. Mengapa pula aku mesti berasa kecil hati andai dia  tidak menghubungiku? Namun, sejauh mana aku mampu menipu hati sendiri?  Kenangan cinta kanak-kanak itu terlalu membelenggu. Cinta? Mungkin.
Cinta  yang tidak terucap itu berbekas jauh di lubuk hati. Tambah menyakitkan  kerana aku telah memberikan seseorang harapan atas dasar cuba melupakan.  Aliff, satu nama yang cukup menenangkan. Biar aku sahaja yang tahu  bahawa aku tidak pernah punya perasaan untuknya.
"Dina, jom makan?" Aku tersentak, jelas sekali sifatku yang gemar mengelamun.
"Aliff, terkejut Dina. Makan di mana? "
Pantas  aku membuang ingatan untuk Farhan dan mengalihkannya kepada Aliff yang  sentiasa di sebelahku, tidak kira ketika aku sedih atau ketawa. Aliff  sentiasa membahagiakan dan aku tidak pernah punya alasan untuk  menjauhinya. Biarlah kenangan kanak-kanak itu berakhir hari ini.
Saat  ini aku begitu memerlukan sahabat seperti Hikma yang amat memahami. Dia  kini di UTM dalam bidang TESL. Sesuai dengan dirinya  yang begitu bijak dalam bahasa Inggeris. Apabila kelapangan, aku tidak  pernah lupa bersama Hikma dan Azwan menjenguk rumah kebajikan tempat  kami membesar. Melihat kanak-kanak di rumah itu menginsafkan aku betapa  nasib manusia itu bukan pilihan kita. Tapi, kita punya jalan untuk  merubahnya.
*****
"Dina nampak tak bermaya saja, kenapa?" tegur Aliff.
"Mengantuk agaknya."
"Aliff ada buat salah ke?"
"Taklah, Dina letih sikit. Mari jalan-jalan ke Angsana, nak tak?"
Petang  itu kami bersiar-siar. Terlupa sebentar cinta monyet yang tidak  terungkap itu. Pernah sekali aku diserang demam campak dan tidak mampu  ke kuliah, Aliff bersusah payah membuat salinan nota agar aku tidak  ketinggalan. Dia juga sering mengirimkan makanan untukku.
Bila  saja aku tertekan dan berputus asa, dia sentiasa hadir memberikan  semangat. Perasaan aku ada untuknya tetapi tidak seistimewa untuk  Farhan. Malam itu, aku solat meminta ketenangan  dari-Nya. Juga mendoakan kesejahteraan ibu bapaku yang amat aku  sayangi. Doaku, moga aku menjadi manusia berguna di dunia dan akhirat.
*****
Kesibukan  menghadapi peperiksaan akhir untuk semester ketiga membuat aku tidak  punya waktu untuk memikirkan soal lain selain akademik. Hari ini hari  terakhir aku menghadapi peperiksaan. Kukira, sudah membuat yang terbaik.  Kadangkala aku turut mengulangkaji bersama Aliff dan berita terbaru,  Azwan berpeluang melanjutkan pelajaran ke Russia di bawah tajaan JPA.  Aku amat bersyukur. Esok merupakan hari terakhir untuk aku berada di UTM  semester ini.
Selepas itu, mungkin aku perlu mencari pekerjaan  sementara untuk menampung kehidupanku. Cutiku pada kali ini serentak  dengan Hikma. Jadi kami merancang untuk bekerja bersama-sama. Ada juga  Hikma mengajakku untuk mengajar tuisyen untuk kanak-kanak di rumah  kebajikan tempat kami membesar dulu. Itu juga tawaran menarik untuk  mengisi masa lapangku. Tiba-tiba  telefon berbunyi. Panggilan dari Aliff.
"Janji dengan Aliff jaga diri baik-baik ya." Ada kelainan pada suara itu.
"Aliff tak mahu jumpa Dina sebelum balik esok?" ceria suaraku.
"Aliff tak sempat," dan panggilan terus terputus.
Universiti  gempar malam itu. Seorang pelajar jurusan psikologi maut ditikam kerana  cuba membantu mangsa ragut. Peragut itu mungkin seorang penagih. Dan  insan yang maut itu adalah Aliff Haikal.
Mengapa di saat aku  merasakan perasaan indah itu, dia terlalu cepat meninggalkanku. Kesepian  yang tidak pernah kurasakan begitu mencengkam. Aku menangis di dalam  solat. Mengenangkan insan-insan kesayangan yang telah pergi meninggalkan  aku sendiri. Aku tidak sempat untuk menunjukkan betapa aku  menghargainya. Yang tambah memilukan hatiku, di saat terakhir nyawanya,  dia masih mengingatiku.
*****
Aku berjalan keseorangan di Plaza Angsana. Kenangan bersama Aliff berlayar di minda. Seharusnya aku  tidak hidup dalam kenangan. Aku memerhatikan segenap ruang. Menunggu panggilan dari Farhan. Bagaimana agaknya wajah itu?
Pandanganku  tertancap pada sebuah kedai coklat. D'HAN CHOCOLATE. Pantas sahaja aku  menapak menuju ke arah kedai itu. Jurujual tersenyum manis menyambutku.  Dekorasi kedai itu begitu menarik. Pencahayaannya juga sangat sesuai.  Kebanyakan coklat tempatan dan luar negara dijual di situ.
Mengapa  selama ini aku tidak pernah menyedari kewujudan kedai ini? Aku hanyut  dalam angan-angan dan impian kanak-kanakku bersama Farhan.
"Cik Dina?" Aku menoleh. Jurujual itu menghulurkan sesuatu kepadaku.
"Assalamualaikum  buat Dina yang Farhan rindui. Comel tak kedai ini? Kedai yang Dina  selalu angan-angankan telah Farhan ciptakan dalam realiti. Farhan harap  Dina sudi tolong Farhan uruskan kedai ini bersama-sama Farhan sebagai  rakan kongsi. Lagipun, Farhan bukan selalu balik Malaysia nak tengok  kedai ini. Dina belajar di Johor,  jadi mungkin Dina punya lebih banyak masa. Jangan fikir lama-lama.  Tawaran ini khas untuk orang yang Farhan sayang saja. Orang yang banyak  memberi inspirasi pada Farhan. Farhan amat rindukan Dina. Selamat Hari  Lahir dari Farhan."
Aku terdiam kerana terlalu terharu. Apabila  aku mengangkat wajah, seseorang menghulurkan Kit Kat untukku. Farhan  melemparkan senyuman paling manis yang mencairkan segenap rasaku. Impian  kanak-kanak itu mewujudkan inspirasi. Aku amat merindui arwah ibu dan  bapaku ketika ini. Dan aku berjanji untuk tidak mengabaikan pelajaranku  di samping impian ini.
Oleh Khairyl Zanariah Azizan

0 comments:
Post a Comment