Nikmat hidup...


KETUKAN di pintu semakin bertalu-talu. Dia bangun perlahan. Sebaik daun pintu terbuka, wajah jiran sebelahnya terjengul di tangga. Dia mempersilakan masuk, tetapi jiran itu hanya mahu bercakap di tangga dan terus bercerita tentang anaknya yang menjadi pembantu rumah di Kuala Lumpur memberitahu, kenalan tuan rumahnya memerlukan seorang pembantu rumah - sebuah keluarga ternama, seorang tokoh korporat yang punya syarikat pembuatan besar bernilai jutaan ringgit. Seorang lelaki yang baru menceraikan isterinya dan tinggal bersama seorang anak gadis tiga belas tahun.

``Kau hanya menguruskan rumah, bukannya payah. Kerja yang kau buat hari-hari.''

``Tapi saya tak pernah...''

``Kau kena belajar, Rabiah. Mana ada satu perkara dalam hidup ini yang tak kena belajar?''

Dia mengeluh panjang. Anak mata masih tidak terlepas dari memandang pangkin tempat mandian tubuh arwah emak yang masih basah. Bau kapur barus masih meremang. Hatinya tersayat.

``Kampung nelayan ini terlalu miskin untuk kau hidup, Rabiah. Pergilah. Jadi pembantu rumah bukannya hina. Kau nanti diberi gaji.''

``Kubur emak masih basah, mak cik.''

``Nak tunggu kubur emak kau kering? Nanti kau terlepas peluang.''

``Saya mahu jaga ayah dan emak, mak cik.''

``Emak dan ayah kau kan dah tak ada.''

``Ayah dan emak tetap ada dalam hati saya. Saya akan jaga emak, jaga ayah, dari hidupnya hingga ketika matinya dan sampai bila-bila.''

Hati mak cik jiran itu jadi libang-libau. Suara gadis bermata redup itu terasa sayu menghiris. Suara itu suara jiwa, suara hati anak yang baru kematian emak. Sayu dan begitu menghiba. Hah, mak cik jiran itu terus memujuk anak gadis itu untuk bekerja di Kuala Lumpur, bukan untuk mendengar sayu hati gadis lara. Bukan. Pantas dia bersuara tegas.

``Mana ada orang hidup jaga orang mati sampai bila-bila, Rabiah?''

``Ada mak cik.'' Suara itu masih rawan, masih tenang.

``Siapa?''

``Saya.''

``Rabiah.'' Mata mak cik jiran itu berkelintar penuh khuatir. Mata itu meraba-raba kewarasan fikiran anak gadis yang baru menjadi yatim piatu pagi tadi.

Gadis sebatang kara itu tunduk hiba di anak tangga.

``Mak cik kesiankan kau, Rabiah. Hidup seorang diri. Bukannya mak cik tak mahu tolong, tapi dengan apa mak cik nak tolong? Kau bukannya tak tahu, mak cik hanya ada beras yang cukup dimakan anak-beranak, sehari sekali.''

Mata gadis piatu itu mula menghangat. Dikentalkan hati agar tidak sayu. Pesanan arwah emak masih basah dalam ingatan - janganlah menangis mengenang nasib diri, menangislah, menangislah bila berhadapan dengan Allah. Menangislah, menangislah dalam sujud-sujud solat.

``Mak cik,'' dikuatkan hati menahan sebak.

``Masa hidup, bubur nasi makanan kami sekeluarga, bila ayah dan emak dah meninggal, bacaan al-Quran dan amalan makruf saya dapat tolong arwah emak dan arwah ayah di sana.''

``Jadi orang gaji pun kau boleh beramal.''

``Saya lebih suka dekat dengan kubur arwah emak, mak cik.''

``Hanya kubur arwah emak kau, kubur arwah ayah kau bukannya ada.''

``Saya dekat dengan laut mak cik. Arwah ayah meninggal di laut. Laut itulah kubur arwah saya. Saya mahu tinggal di sini mak cik.''

``Kau terima sajalah kerja itu. Itu saja yang dapat tolong kau nanti Rabiah.''

``Saya masih ada beras mak cik.''

``Tapi kalau kau tak kerja, beras itu akan habis.''

``Tapi saya masih boleh menoreh di kebun Usu Muhanaz.''

``Di Kampung Muara?''

Dia mengangguk lesu.

``Kau jangan bermimpi Rabiah. Dah setahun kau tak menoreh, kau ingat Usu Muhanaz masih tunggu kau?''

``Saya boleh menoreh di kebun orang lain. Kampung Muara banyak kebun getah mak cik.''

Lama mak cik jiran itu terdiam. Mukanya berkerut. Segala usaha untuk memujuk Rabiah masih gagal. Fikirannya buntu. Dia hanya mampu mengeluh panjang.

``Kau fikirlah baik-baik Rabiah.''

``Saya mahu tinggal terus di sini, mak cik.''

``Kau mahu miskin sampai mati?''

``Saya tak pernah miskin mak cik.''

Mulut mak cik jiran itu ternganga. Matanya terbuntal menerjah wajah gadis kampung nelayan yatim piatu yang kuning langsat, mata redup, pipinya merah jambu (tidak hangus dibakar terik matahari pantai) dan hidung dan bibir seulasnya terletak manis. Dia gadis tercantik kampung nelayan yang jauh di pedalaman ini. Itu kata burung, kata awan, kata angin yang sentiasa berterbangan di langit kampung nelayan. Orang kampung nelayan tidak punya masa menilai erti cantik dan halus kulit gadis kampung nelayan. Ulas-ulas nasi yang putih berbau harum, itu sahajalah kecantikan yang tiada tolok bandingnya dan indah dalam perkampungan yang tidak ada orang makan nasi tiga kali sehari itu.

``Kau terlalu angankan hidup kaya Rabiah, kasihan.''

``Kata arwah emak, kami sudah cukup kaya mak cik.''

``Emak kau yang mati berkapankan selimut itu?''

``Selimut itu sudah saya bersihkan seminggu sebelum emak pergi. Baunya masih harum dan bersih lagi.''

``Emak kau teringin jadi kaya. Tapi kampung nelayan yang tidak ada seorang pun punya rumah, semuanya berpondok atap nipah, tidak mampu tunaikan impian kau anak-beranak, sampai malam tadi, emak kau mati masih miskin Rabiah. Sekarang ini, hanya kau sahaja yang boleh jadikan mimpi emak kau itu jadi benar. Kau pergilah.''

``Supaya nanti saya mati kaya?''

``Rabiah.'' Mak cik jiran itu kepupusan kata-kata. Dadanya berolak deras.

``Emak dan saya selalu mimpikan hidup senang di sana mak cik.''

``Di mana?''

``Di sana.'' Ulas bibir gadis kampung nelayan itu tersenyum.

``Rabiah, di mana pun kau tak akan hidup senang kalau masih dalam kampung nelayan ini.''

``Boleh mak cik, kalau kita ikhlas beramal dan memohon taufik dan hidayah Allah, kalau kita rajin berusaha jadikan hidup kita ini berharga.''

``Kau selalu berdoa?''

``Mak cik tak pernah berdoa?''

``Kalau kau dan emak kau benar-benar alim kenapa doa tak menjadi?''

``Sudah lama doa saya, emak dan ayah dimakbulkan Allah, mak cik.''

Sekali lagi mak cik jiran itu tercengang.

``Macam orang gila kau ni Rabiah. Cakap tak tentu hujung pangkal.''

``Kata arwah emak, bermulanya di pangkal hati, berakhir di hujung lidah, itulah kata-kata yang kita lafazkan mak cik.''

``O, itu yang kau kata doa kau sekeluarga terkabul? Ayah kau mati karam di laut. Mak kau mati sakit busung dianiaya orang?''

``Mak cik, arwah ayah saya meninggal dalam iman. Kawan-kawan arwah ayah kata, arwah sedang azan sekuat hati dalam laut yang bergelora bila perahu arwah karam.

Arwah emak sakit dah suratan, bukan dibuat orang tapi, itulah qada Allah. Tapi arwah emak tetap redha dan akhirnya arwah mati ketika sedang solat malam. Masa tu, arwah emak sedang menangis mak cik. Air mata arwah hangat dan basah di hujung jari saya ketika saya rasa, nafas arwah dah tak ada.'' Suaranya sebak. Dia cuba tersenyum. Tetapi air matanya bergenang.

``Itu doa?''

``Ya, itulah doa yang paling mustajab. Allah telah kabulkan, hanya tinggal saya yang belum tahu lagi keadaan mati saya. Kalau boleh saya pun nak mati ketika sedang khusyuk rindukan Allah. Seperti rindu arwah ayah, seperti rindu arwah emak.''

Mak cik jiran itu pun tidak mampu berkata-kata lagi.

Pondok buruk, di hujung kampung itu pun semakin hari semakin kering pangkinnya. Semakin hari semakin hilang bau kapur barus di pangkin itu. Dan semakin hari semakin berkalih surah-surah dari Quran buruk di atas rehal usang.

Dan kubur di bawah pohon kemboja ungu terus dikunjungi gadis berkerundung ungu, membaca surah-surah Yassin, al-Waqiah dan al-Mulk, memohon kesejahteraan hidup di alam barzah, penghuni mulia yang wajahnya bercahaya hingga ke liang lahad, meskipun tubuh layu itu tidak pernah kenyang mengunyah nasi berlauk dan makanan yang lazat-lazat.

Kini benar-benar gadis berkerundung ungu itu terasa akan benarnya kata-kata arwah emak - orang yang alim dan dikasihi Allah itu tidak pernah mati. Jiwanya akan hidup dalam amalan orang yang ditinggalkan, amalan yang tinggi martabat imannya, amalan yang menjadikan jiwa dan hati sanubarinya kaya tidak terkata.

``Kaya itu apa emak?'' Itu suaranya sepuluh tahun yang lalu. Waktu itu umurnya lima tahun. Dia baru selesai mengaminkan doa khatam Quran yang emak bacakan untuknya dalam liuk-lintuk api pelita dalam pondok buruknya di suatu malam Jumaat di bulan Ramadan.

Lama emak terdiam. Mata emak mengusap anak yatim yang dikandungnya dengan penuh rasa syukur dalam limpah kebahagiaan hidup bersama suami yang cepat benar bahagia itu dihantar ke penghujungnya. Ah, hidup ini, emak me-ngeluh, tetapi cepat-cepat dipandamkan keluhan itu dengan istighfar.

``Kaya itu apa emak?'' Suara tulus itu masih disemerbaki rasa ingin tahu yang polos.

``Kaya itu macam kita inilah nak.''

``Macam kita?''

``Kita cukup semua nak, nasi bubur buat kita kenyang. Api pelita, boleh terangkan kita untuk baca Quran untuk sembahyang malam.''

``Ada orang tak dapat makan nasi bubur? Tak ada pelita nak baca Quran dan sembahyang malam?''

Dalam samar api pelita hati emak bergemuruh dengan rasa syukur yang melimpah, diusap anak bertubuh kecil lima tahun. Air mata emak berasak-asak keluar. Hati emak terhiba-hiba, Tuhan, terima kasih Tuhan, Kau kurniakan aku anak sebaik ini. Terima kasih Tuhan, Kau berikan aku anak sepintar dan semulia ini. Tuhan, jadikanlah anak aku ini, semulia-mulia manusia. Jadikanlah dia ya Allah, tempat yang boleh hamba-Mu ini gantungkan harapan, semasa hidup, ketika mati dan sesudah mati.''

``Emak, kenapa emak menangis?''

Emak tidak terkata. Pantas emak memeluk dan menciumnya dengan cucuran air mata.

Dia turut memeluk dan mencium muka emak yang basah dan hangat. Hatinya tersenyum puas dan lembut berkata; O, inilah yang dikatakan kaya.

Dia tersenyum dan terus tersenyum. Berjalan pulang dari tanah perkuburan emak dan kitab al-Quran dipeluk erat ke dada dan hujung tangannya mencebet sekendi air bacaan tahlil. Menyusur pantai pagi itu, suara ombak berdebur-debur memukul pantai. Angin pantai yang hamis sejuk menerjah mukanya. Kerundung ungunya terkiwir.

Angin terus menderu. Dalam deruan angin dan deburan ombak pantai itu dia bagai terbisik suara arwah ayah.

``Kubur itu bukan syarat masuk syurga. Hanya peringatan dan kewajipan menyempurnakan mayat bagi yang hidup. Kalau kita orang beriman, dan banyak berbuat amalan soleh dengan hati yang ikhlas kerana Allah, Allah tetap akan menjanjikan syurga itu walaupun mayat kita berkecai dalam laut. Walaupun mayat kita lumat dalam perut binatang buas.'' Arwah emak kata itulah kata-kata arwah ayah yang terakhir sebelum turun ke laut pagi itu dan tidak pulang sampai sekarang.

Dan sekarang dia berdiri menghadap laut. Ombak-ombak kecil di gigi pantai itu menampar kakinya. Disedekahkan Fatihah dan Qulhu kepada arwah ayah. Dan berdoa semoga Allah menempatkan roh emak dan ayah di satu tempat yang jadi harapan para solehin. ``Tuhan, pertemukan roh emak dan ayah, di sebaik-baik tempat di sisi-Mu walaupun, jasad mereka terpisah di darat dan di lautan. Mereka emak dan ayah yang amat merindui-Mu Allah, amat mengasihi, rasul-rasul-Mu, amat mengasihi kitab-kitab-Mu, amat mengasihi malaikat-malaikat-Mu dan amat redha akan qada dan qadar-Mu.''

Hatinya sebak. Titis air matanya gugur ke gigi laut yang berombak itu. Air mata masin itu berpadu dengan garam laut dan berpadu dengan peluh hamis masin para nelayan kawan-kawan ayah. Berpadu dalam perut laut. Dan ikan-ikan pun berenang simpang piranang.

Ombak yang masin itu bergulung-gulung pergi. Gadis yatim piatu kampung nelayan itu mengesat air mata dan melangkah pulang. Kerundung unggunya terkiwir-kiwir mengejar angin pantai. Hatinya puas.

Hidup yatim piatu, berpondok tempat berlindung, bersuluh liuk-lintuk api pelita di helai-helai kitab Quran dan rehal usang tinggilan arwah emak dan ayah, kepalang kayanya. Kerana tinggalan itu adalah harta yang tidak tersukat nilainya ditambah dengan hidup ini sendiri yang menjadi harta kurniaan Allah yang berganda-ganda nilainya.

Begitu arwah emak dan ayah mengajarnya menikmati hidup.

~TAMAT~

Oleh: AMINAH MOKHTAR

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...