Ketenangan jiwa - Sukar diluahkan dengan kata-kata

KEMATIAN bapa sewaktu anak bongsu daripada lima orang adik-beradik ini masih di dalam darjah lima, diakui Jagen Roy atau nama Islamnya, Muhammad Azroy Abdullah, 30, sekelip mata merubah kehidupan kanak-kanak dan zaman remaja pemuda berketurunan India ini.

Apa tidaknya, dalam usia yang masih mentah, beliau kehilangan tempat bermanja dek kerana kesibukan ibu mengganti tempat mendiang bapa mencari nafkah keluarga.

Manakala, hubungan dengan abang dan kakak yang lain diibaratkan seperti anjing dengan kucing.

Sesuatu yang pelik dalam kisah pemuda ini, ialah orang selalu menganggap anak bongsu `kaya' perhatian dan ditatang bagai minyak yang penuh. Sebaliknya, beliau `miskin' kasih sayang.

Lantaran itu, pemuda yang selesa dengan panggilan Roy ini cuba mendekatkan diri dengan agama kepercayaan keluarganya, iaitu Roman Katholik sebagai satu saluran meluah perasaan.

``Ketika itu, saya boleh dikategorikan seorang penganut agama Kristian yang taat. Pun begitu, satu hal yang menyebabkan saya rasa diketepikan, iaitu acap kali hendak melepasi peringkat `pengesahan', saya bagai diheret lebih jauh.

``Kekerapan kejadian ini menyebabkan saya merasakan bahawa tuhan Kristian tidak mahu menerima saya, sekali gus hati saya tawar untuk terus mencuba.

``Kemudian, sewaktu bersama teman-teman pergi berkelah, kami menemui sebuah kuil yang terbiar. Tidak semena-mena, seorang teman kami dirasuk, dan lebih memeranjatkan `dewa' yang masuk ke dalam tubuhnya itu memberitahu, yang jiwa saya ni terlalu kosong dan sedang mencari kasih sayang. Lebih menghairankan, dewa itu mahu saya nyalakan pelita di kuil tersebut.

``Semenjak itulah, saya ikut kehendaknya kerana merasakan diri bertuah ada makhluk lain yang lebih memahami penyeksaan batin yang sekian lama saya pendam.

``Amalan menyalakan lilin di kuil itu berlarutan lebih kurang tujuh bulan. Selepas itu, saya tidak lagi berkunjung ke situ,'' cerita Azroy berkongsi kisah silam lebih 10 tahun lalu.

Menyambung cerita, kata Pengarah Urusan Victor Data System (VDS) Malaysia Sdn. Bhd., syarikat yang menyediakan perkhidmatan atau berkaitan teknologi maklumat tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), beliau bekerja di sebuah syarikat insurans. Di sinilah beliau berkenalan dengan Salamidah.

Akui Azroy lagi, menerusi hubungan yang dikira seperti adik dengan kakak inilah, beliau mengenal ajaran Islam serba sedikit.

Minat

Tetapi pada masa itu, keinginan atau minatnya kepada agama Islam langsung tidak ada. Malah beliau meminta agar kakak angkatnya menghentikan cerita-cerita tentang Islam, demi menjaga keharmonian ikatan persahabatan antara mereka.

``Dalam masa yang sama, suasana di rumah semakin tertekan. Akhirnya saya mengambil keputusan untuk lari, biarpun dalam tangan cuma ada 30 sen.

``Saya bermalam di Perhentian Pekeliling sebelum nekad meneruskan perjalanan ke destinasi pilihan, iaitu ke Kuantan kerana khabarnya ada saudara di sana.

``Bayangkan dengan tangan kosong, saya bertekad menahan kenderaan ke arah Pantai Timur. Saya dapat tumpang lori yang membawa muatan kain.

``Saya menjadi buntu apabila perjalanan terhenti separuh jalan, memandangkan lori tersebut tidak sama haluan. Pada saat itulah, saya nyaris-nyaris mencuri motor milik seorang pakcik kerana hendak meneruskan niat asal tanpa memikirkan akibatnya nanti. Apatah lagi, soal dosa atau pahala.

``Tanpa disangka, pakcik itu menghulurkan RM10. Cukup buat mengalas perut dan meneruskan perjalanan. Sayangnya, saudara yang dicari-cari gagal ditemui kerana maklumat tidak lengkap,'' kata Azroy sebelum mengambil keputusan ke Teluk Cempedak dan menumpang di rumah seorang kawan, warganegara Australia.

Terang Azroy, setahun menetap dengan lelaki `mat salih' yang dipanggil `dad' ini, mengenalkannya dengan minuman keras dan sekali-sekala berkunjung ke disko.

Tetapi semua tabiat buruk itu terhenti apabila Azroy teringat kembali kata-kata kakak angkatnya, sewaktu bekerja di syarikat insurans dulu.

``Apabila `dad' berpindah ke Kajang, saya dan teman-teman lain turut serta dan tinggal di Jalan Reko, Kajang. Saya pernah menyuarakan hasrat untuk memeluk Islam kepada teman serumah yang beragama Islam tetapi tidak dilayan.

``Cuma yang respons, Abang Aziz dan Abang Ali, bila melihat saya bersungguh-sungguh. Lantas mereka membawa saya ke surau dan menyuruh saya melihat apa yang mereka lakukan.

``Semua ini saya lakukan tanpa memberitahu `dad' dan keluarga kandung,'' terang Azroy yang memeluk Islam pada 27 Januari 1994.

Azroy memeluk Islam di Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), Jalan Ipoh ditemani Abang Ali dan Abang Aziz beberapa hari sebelum umat Islam menyambut Ramadan.

Biarpun dirinya baru bergelar saudara baru, ibadah puasa tetap diusahakan. Malah Azroy mengakui, sungguhpun tidak mendapat ilmu agama secara formal tetapi beliau banyak belajar daripada orang-orang tertentu, seperti bapa angkatnya, abang angkat dan teman-teman serta merujuk kepada pegawai dakwah di Perkim dan Jabatan Agama Islam.

``Islamlah yang saya cari selama ini, cuma saya lambat menyedarinya atau hidayah belum datang masa itu.

``Selain itu, selepas memeluk Islam, terasa ketenangan yang wujud di dalam hati, malah serasi dengan jiwa ini, sukar nak diluahkan dengan kata-kata.

``Secara automatik juga sikap saya bertukar daripada seorang yang panas baran dan kurang ajar kepada akhlak yang disarankan Islam. Bukan saya sahaja yang dapat rasakan tetapi mereka yang berada di sekeliling saya turut mengakuinya, terutamanya `dad', walaupun beliau tidak begitu gembira saya memilih Islam.

``Hakikatnya, ajaran Islam mencakupi pelbagai bidang daripada yang serius sehinggalah soal remeh temeh,'' kata Azroy yang mendirikan rumah tangga dengan pendidik kelahiran Muar, Johor, Norli Ismail. Pasangan ini dianugerahkan seorang cahaya mata, Hanis Nur Hannah, 5 tahun.

Keluarga

Menceritakan reaksi keluarga kandung dengan keputusannya memeluk Islam dan berkahwin dengan orang Melayu, imbas Azroy, telegram yang diterima daripada abang kandung yang ringkas tertera, `pulang segera, ibu sakit,' menjadi pembuka jalan dalam membina kembali silaturahim mereka sekeluarga.

``Saya pulang ke rumah ibu di Segambut, Kuala Lumpur. Rupa-rupanya berita yang diterima bohong belaka. ibu pada masa itu bekerja. Malah apabila beliau pulang dan nampak saya, tiada sebarang reaksi ditunjukkan.

``Cuma yang sedikit tegang, ialah daripada adik- beradik yang lain. Mereka marah kerana saya pandai-pandai membuat keputusan tanpa berbincang dengan keluarga.

``Biarpun hubungan keluarga kami `sejuk', saya tetap pulang menjenguk ibu. Bagi saya, itulah sebenarnya tanggungjawab seorang anak kepada ibu sebagaimana yang disarankan oleh agama Islam.

``Islam tidak membataskan hubungan hanya kerana kami berlainan agama. Hubungan kekeluargaan tidak akan putus, malah saling menghormati itu amat diutamakan,'' kata Azroy sewaktu ditemui di pejabatnya, di Taman Maluri, Cheras.

Belum pulih daripada kejutan berita pengIslamannya, sekali lagi keluarga Azroy digemparkan. Kali ini, berita perkahwinannya dengan gadis Melayu.

``Dalam hal ini, saya sanjung ibu kerana sifatnya yang tenang menghadapi sesuatu perkara. Apabila dikhabarkan berita saya hendak berkahwin, reaksinya bersahaja dan merestuinya tanpa banyak bertanya.

``Berbeza dengan abang dan kakak yang menentang habis-habisan kerana menganggap perkahwinan tersebut akan menyebabkan terputusnya hubungan kekeluargaan.

``Sebelum saya berkahwin dengan isteri, saya meletakkan syarat sekiranya ingin diteruskan, beliau (isteri) mestilah dapat menerima keluarga saya serta sanggup mengikut ke mana sahaja saya berada.

``Alhamdulillah, sembilan tahun perkahwinan kami, isteri pegang pada kata-katanya. Malah kami kerap mengamalkan perbincangan yang positif dalam apa juga topik berbangkit.

``Saya juga berterima kasih kepada keluarga sebelah isteri kerana saya dapat merasai makna dan erti kasih sayang sebuah keluarga yang selama ini tidak saya rasai,'' akui Azroy yang melangsungkan perkahwinan pada 23 November 1996.

Kini, jelas Azroy, hubungan mereka suami isteri dengan keluarga semakin rapat. Semua ini kerana sikap isteri yang terbuka dan dapat menerima keluarganya seadanya.

Di samping itu, beliau juga bersyukur, akhirnya ahli keluarganya memahami Islam yang sebenar. Baginya Islam agama yang cukup mulia tetapi sayangnya, segelintir umat Islam itu sendiri yang membawa imej buruk kepada agama Islam.

``Isteri saya sanggup belajar daripada ibu saya bagaimana membuat makanan orang India seperti tosei dan banyak lagi. Secara tidak langsung, ini dapat mengeratkan hubu-ngan kami, sekali gus menyedarkan bahawa Islam itu agama yang mudah.

``Malah, sikap ibu kini juga begitu menyentuh hati saya kerana apabila kami berkunjung ke rumahnya tanpa memberitahu terlebih dahulu, ibu akan rasa bersalah kerana tidak bersiap-sedia, terutama menyediakan makanan,'' jelas Azroy.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...