Di mana kita hendak beraya mama


PUASA sudah masuk minggu kedua. Anak-anak mula bertanya kenapa ayah mereka tidak pulang ke rumah.

Serba salah hendak menjawabnya. Bagaimana hendak dikhabarkan yang ayah mereka tidak akan balik dan tinggal bersama lagi di bawah satu bumbung?

Terkadang sebak hati mengenangkan perkara ini, tapi apakah daya. Jodoh sudah sampai ke noktah. Tidak boleh dielak lagi. Berat hati sekalipun, kena reda.

Begitulah mukadimah yang terkeluar daripada mulut Anita berusia lewat 20-an yang baru tiga bulan berpisah dengan suaminya sebaik menghubungi saya di talian telefon Khamis lalu.

Biarpun masa yang dihubungi tidak kena, atas dasar kemanusiaan saya meluangkan masa untuk melayaninya berbual-bual setelah dia memberitahu telah berusaha menghubungi saya sejak tiga hari berturut-turut.

Setelah memperkenalkan dirinya dan memberi sedikit maklumat mengenai kisah yang ingin disampaikan, saya meminta Anita meneruskan ceritanya.

Kata Anita, dia dan bekas suami dikurniakan sepasang anak berusia antara tiga hingga enam tahun.

“Masalah saya Kak Nor bukan tentang perpisahan yang berlaku tetapi perasaan anak-anak yang sehingga kini masih tertanya-tanya kenapa ayah mereka tidak balik ke rumah.

“Puas saya memberi alasan, menipu sebab itu sebab ini, tapi soalan yang sama tetap diutarakan mereka. Saya sudah hilang punca Kak Nor, tidak tahu apa lagi hendak diberitahu,’’ ujar Anita.

Menurut Anita, sejak dia dan suami berpisah, anak-anaknya macam orang sasau. Terjaga tengah malam mencari-cari ayah mereka. Setiap hari mereka menunggu di laman. Pantang ada kereta yang membelok mereka menjerit, ayah balik, ayah balik!

“Macam mana saya hendak khabarnya yang ayah mereka tidak akan balik lagi dan tinggal bersama di rumah itu sedangkan setiap hari mereka duduk menunggu ayah mereka di laman rumah,’’ tambah Anita.

Menyedari dalam usia yang masih muda Anita terpaksa mengalas status ibu tunggal, saya memberanikan diri bertanya kenapa itu boleh terjadi.

“Puncanya mudah sahaja Kak Nor. Orang ketiga. Bila kita cakap orang ketiga mungkin ramai lelaki yang akan melenting. Tapi itulah hakikatnya. Apabila orang ketiga hadir dalam hidup suami kita, segala-galanya akan berubah dalam sekelip mata.

“Perhatian, kasih sayang, tanggungjawab akan lenyap serta merta. Macam terkena `karan’ (arus) elekrik. Tidak boleh ditarik balik. Cakap apapun tidak diterima lagi. Itulah yang terbaik di matanya ketika itu,’’ tambah Anita

Ujar Anita buat apa hendak tunggu lagi kalau hidup sudah tidak serupa orang bersuami isteri. Siang malam tidak menentu di mana singgahnya. Hujung minggu tidak pernah lekat di rumah. Dua puluh empat jam dengan buah hati. Bayangkan sampai sanggup tidur bangun di rumah buah hati kerana sayang. Pada hal tidak ada apa-apa ikatan sah.

“Buat apa saya hendak tunggu lagi. Menanggung dosanya yang tidak berkesudahan. Akhirnya dia melepaskan saya dengan gembira bercampur bangga sebab saya mengalah sebelum berjuang.

“Saya sedar perpisahan itu meninggalkan risiko yang bukan kepalang kepada anak-anak tetapi apa hendak buat. Ayah mereka yang suka begitu. Megah dapat isteri baru yang muda dan cantik. Sehinggakan anak-anak ditolak ke tepi.

“Sejak berpisah sekalipun dia tidak menjenguk anak-anak. Saya yang bertungkus lumus terkejar ke sana-sini untuk menghantar mereka ke tadika dan rumah pengasuh,’’ jelas Anita.

Fikirannya tambah runsing kata Anita apabila mengenangkan Hari Raya Aidilfitri semakin hampir. Sehingga saat saya menelefon Kak Nor ini ayah mereka masih tidak bertanya khabar.

“Anak-anak mula bercakap tentang baju raya. Anak yang sulung telah berkira-kira untuk mengajak ayahnya ke kompleks membeli-belah untuk beli baju dan kasut raya seperti tahun sebelumnya.

“Bayangkan Kak Nor, sekarang ini dia asyik tanya saya, nak raya mana mama, rumah tok mama ka tok ayah? Tidak cukup dengan itu dia siap buat pelan nak ajak ayahnya pasang pelita panjut di kampung. Kemudian naik basikal keliling kampung tengok orang beraya.

“Semua ini membebankan fikiran saya Kak Nor. Saya sudah katakan kepadanya yang ayahnya tidak akan balik lagi ke rumah kami. Tapi dia tanya saya sebab apa? Kan ini rumah ayah, rumah mama, rumah abang dan adik?’’ sebak Anita bercerita.

Mendengar cerita Anita saya turut merasakan kesedihannya. Bayangkan, apalah yang kanak-kanak seusia itu tahu tentang kemelut rumah tangga ibu bapanya. Apa yang mereka faham tentang perceraian?

*Berpisah

Lalu saya katakan itulah risiko yang perlu dia tanggung setelah berpisah dengan suaminya. Sebab itu sebelum membuat keputusan dahulukan masa depan anak-anak, ketepikan ego sendiri.

“Saya faham Kak Nor, tapi tidak pula saya sangka ia akan berakhir macam ini. Begitu kukuh ingatan dan kasih sayang mereka kepada ayahnya. Sehingga saat ini, saya masih mencari kekuatan untuk bercerita dengan anak saya tentang apa yang sebenarnya berlaku antara saya dan ayah mereka.

“Sesekali berbual-bual, saya selitkan juga kisah ayah mereka tetapi senang saja dia jawab, ayah pergi kerja jauh... nanti baliklah...’’ tambah Anita sayu.

Setelah mendapat kepastian apa yang berlaku saya bertanya Anita apa rancangannya menjelang raya nanti.

“Saya tidak merancang apa-apa setakat ini. Nak balik rumah sendiri, malu kepada kakak dan ipar duai. Tidak sanggup rasanya hendak beraya tanpa suami. Sedih nak bersama-sama kakak dan abang serta keluarga mereka. Malu saya Kak Nor.

“Ikut hati saya hendak beraya di rumah sendiri sahaja bersama anak-anak. Tapi kasihan pula kepada mereka.” kata Anita.

Saya menyarankan Anita membawa anak-anaknya pulang ke kampung halamannya supaya mereka dapat menikmati hari raya seperti selalu walaupun tanpa ayah. Sekurang-kurangnya mereka dapat bersama datuk nenek dan saudara-mara sebaya mereka. Tidaklah sunyi sangat.

Saya katakan, anak-anaknya masih mentah untuk memahami apa erti perceraian tetapi adalah lebih baik mereka tidak diasak terus-terusan dengan masalah itu. Satu hari nanti mereka akan tahu dan faham.

Keluarga pula macam mana?

‘’Ibu bapa memang mengharapkan saya balik beraya di kampung. Juga kakak dan abang-abang. Tapi saya malu pada orang kampung. Maklumlah Kak Nor, baru tiga bulan dapat status janda...’’ perlahan Anita berkata.

Saya memahami perasaan ibu muda ini. Namun saya bangga dengan kekuatannya untuk terus memikul tanggungjawab sebagai ibu. Komitmenya pada saya cukup kukuh. Inilah semangat yang perlu dicontohi oleh mereka yang melalui saat sukar seperti ini.

“Saya berharap keadaan akan kembalik pulih. Saya mendoakan anak-anak akan dapat menerima kenyataan hidup saya sekarang tanpa ayah mereka,’’ tambah Anita.

Menduga hatinya saya bertanya sama ada pintu hatinya tertutup untuk kembali bersama bekas suami.

Lama Anita terdiam, kemudian memberi jawapan ringkas dan padat.

‘’Kak Nor, saya dibuang suami, bukan saya yang minta dilepaskan. Lagipun, saya sudah hilang kepercayaan kepadanya. Dia tidak jujur dan tidak setia kepada ikatan perkahwinan kami,’’ tegas Anita berkata.

Saya terdiam. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Lalu saya meminta Anita bersabar dan tabah menghadapi ujian. Hiburkan hati dan jangan serabutkan minda hanya kerana perceraian yang telah anda reda.

Saya menarik nafas lega setelah Anita berjanji akan memikirkan cadangan saya itu sebelum meletak telefon. Lalu teringat saya kepada seorang teman yang juga melalui krisis yang sama dan baru sahaja diceraikan suami setelah mendapat cucu pertama. Juga gara-gara suami buka cawangan baru.

“Aku hilang semangat untuk hidup. Dah tua-tua pula dia buat hal... tapi apa hendak kata sudah takdir, sudah tersurat dalam hidup aku, kena terima sahaja... Syukur anak-anak masih sayangkan aku.’’ katanya dalam pertemuan kami sebelum Ramadan baru-baru ini.

Kepada Anita dan teman saya itu, tabahkan hati, teruskan hidup.

Pesanan saya buat Anita, jaga anak dengan sebaik mungkin. Penuhi dada mereka dengan ilmu dunia dan akhirat.

Buat teman saya yang masih bersedih, bersabarlah! Inilah ketentuan Tuhan. Jangan meratapi segala yang berlaku. Kembali menjadi dirimu yang sebenar tanpa melupakan Allah kerana kedamaian dan kebahagiaan abadi ada pada-NYA.

Menutup kata, ingatan telus daripada saya, pada hari baik dan bulan baik ini, jadikan dirimu laksana sebutir bintang yang bersinar gemilang. Jangan takut pada kesedihan yang menghalang kegelapan malam. Sampai masa, akan terbitlah mentari yang akan menyinari hidupmu.

Sumber: Utusan Malaysia

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...